Bermula 1 Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008).
Kaedah ini mula berkuatkuasa ke atas semua jenis kenderaan kecuali kenderaan-kenderaan seperti berikut :
- Kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995;
- Kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995, tetapi tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam (rear anchorage points);
- Kenderaan yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu; dan
- Kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan (BDM) melebihi 3.5 tan.
Bagi kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai penambat binaan dalam (rear anchorage points), tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik kenderaan tersebut diberi tempoh selama 3 tahun untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Tempoh 3 tahun ini bermula dari 1 Januari 2009 hingga 3i Disember 2011.
Bagi membantu pemilik kenderaan, pihak JKJR dan pengeluar kenderaan iaitu Proton, Perodua dan Honda telah menandatangani MoU di mana pengeluar kenderaan-kenderaan tersebut telah bersetuju memasang tali pinggang keledar belakang secara percuma (bagi kenderaan yang dikeluarkan mulai 1hb Januari 1995). Adalah dianggarkan sebayak 227,000 buah kenderaan Proton, 435,000 buah kenderaan Perodua dan 35,000 buah kendraan Honda akan dipasang secara retrofit oleh pengeluar masing-masing. Pemilik kenderaan adalah dinasihatkan supaya mengambil tindakan awal untuk melengkapkan kenderaan masing-masing dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang demi melindungi keselamatan diri dan penumpang.
Intervansi atau inisiatif melalui penguatkuasaan tali pinggang keledar belakang ini dibuat bertujuan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian apabila berlaku kemalangan jalan raya. Mengikut kajian oleh MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research), pada tahun 2007, terdapat 350 kes kematian, 700 kes cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang melibatkan penumpang di tempat duduk belakang kenderaan persendirian. Dari jumlah ini sebanyak 40% – 50% kes kematian, cedera parah dan cedera ringan yang melibatkan penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya pemandu atau penumpang memakai tali pinggang keledar.
Mana-mana pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar (hadapan atau belakang) akan disaman. Penalti bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun, bagi tempoh enam (6) bulan pertama iaitu mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2009, JPJ atau PDRM akan menawarkan kompaun RM300 kepada pesalah.
Bagi membantu pemilik kenderaan, pihak JKJR dan pengeluar kenderaan iaitu Proton, Perodua dan Honda telah menandatangani MoU di mana pengeluar kenderaan-kenderaan tersebut telah bersetuju memasang tali pinggang keledar belakang secara percuma (bagi kenderaan yang dikeluarkan mulai 1hb Januari 1995). Adalah dianggarkan sebayak 227,000 buah kenderaan Proton, 435,000 buah kenderaan Perodua dan 35,000 buah kendraan Honda akan dipasang secara retrofit oleh pengeluar masing-masing. Pemilik kenderaan adalah dinasihatkan supaya mengambil tindakan awal untuk melengkapkan kenderaan masing-masing dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang demi melindungi keselamatan diri dan penumpang.
Intervansi atau inisiatif melalui penguatkuasaan tali pinggang keledar belakang ini dibuat bertujuan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian apabila berlaku kemalangan jalan raya. Mengikut kajian oleh MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research), pada tahun 2007, terdapat 350 kes kematian, 700 kes cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang melibatkan penumpang di tempat duduk belakang kenderaan persendirian. Dari jumlah ini sebanyak 40% – 50% kes kematian, cedera parah dan cedera ringan yang melibatkan penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya pemandu atau penumpang memakai tali pinggang keledar.
Mana-mana pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar (hadapan atau belakang) akan disaman. Penalti bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun, bagi tempoh enam (6) bulan pertama iaitu mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2009, JPJ atau PDRM akan menawarkan kompaun RM300 kepada pesalah.
ADAKAH SEMUA KENDERAAN DIWAJIBKAN MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG ?
Mulai 1 Januari 2009 semua kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995 wajib memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.
APAKAH KENDERAAN YANG DIKECUALIKAN DARIPADA DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Kenderaan-kenderaan yang dikecualikan dari dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang adalah seperti berikut:-
- Kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995;
- Kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam (rear anchorage points);
- Kenderaan yang mempunyai lebih daripada lapan tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu; dan
- Kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan (BDM) melebihi 3.5 tan.
ADAKAH DIKENAKAN TINDAKAN SAMAN JIKA KENDERAAN YANG DIDAFTAR SELEPAS 1 JANUARI 1995 TETAPI TIDAK DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Tidak. Kenderaan tersebut diberi tempoh sehingga 31 Disember 2011 untuk dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.
BERAPAKAH JUMLAH TALI PINGGANG KELEDAR YANG SEPATUTNYA DIPASANG PADA SESEBUAH KENDERAAN?
Setiap tempat duduk di dalam sesebuah kenderaan yang kapasitinya tidak melebihi 8 tempat duduk tidak termasuk pemandu hendaklah dipasang tali pinggang keledar.
ADAKAH KENDERAAN BARANGAN DIKECUALIKAN DARI MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR?
Kenderaan barangan yang mempunyai berat muatan maksimum melebihi 3500 Kg adalah dikecualikan daripada memasang tali pinggang keledar belakang.
ADAKAH KENDERAAN JENIS VAN, MPV, SUV DAN MUV PERLU DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Ya. Sekiranya kenderaan tersebut didaftar pada atau selepas 1 Januari 1995 dan jumlah tempat duduknya kurang dari 8 orang termasuk tempat duduk pemandu.
BOLEHKAH TEMPAT DUDUK BELAKANG SESEBUAH KENDERAAN DIPASANG DENGAN TALI PINGGANG KELEDAR JENIS IKATAN PINGGANG SAHAJA?
Boleh. Sekiranya binaan kenderaan tersebut tidak membolehkan ia dipasang dengan tiga penambat bina dalam.
KENDERAAN YANG DIDAFTARKAN PADA DAN SELEPAS 1 JANUARI 1995 TETAPI TIDAK MEMPUNYAI TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG. APAKAH YANG PATUT DILAKUKAN?
Kenderaan-kenderaan tersebut dipasang tali pinggang keledar di agen-agen kenderaan berkenaan. Disamping itu, Kementerian Pengangkutan telah mendapat kerjasama pembuat kenderaan Proton, Perodua dan Honda untuk membekal dan memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang secara percuma.
KENDERAAN YANG TIDAK DIPASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG SELEPAS TEMPOH 31 DISEMBER 2011 PEMASANGAN BERAKHIR, ADAKAH PEMILIKNYA AKAN DIKENAKAN TINDAKAN SAMAN?
Pemilik kenderaan berkenaan akan dikenakan tindakan saman.
SIAPAKAH YANG AKAN DIKENAKAN TINDAKAN SAMAN SEKIRANYA TERDAPAT PENUMPANG YANG TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tindakan saman akan dikenakan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar.
BERAPAKAH UMUR PENUMPANG YANG AKAN DIAMBIL TINDAKAN SAMAN SEKIRANYA TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG?
Tindakan saman hanya akan dikenakan kepada penumpang yang berumur 17 tahun dan ke atas sahaja.
SIAPAKAH YANG DIKECUALIKAN DARIPADA MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Pengecualian daripada memakai tali pinggang keledar diberikan kepada:
- Orang yang diperakui oleh dua orang pengamal perubatan berdaftar - tidak boleh memakai tali pinggang keledar atas sebab kesihatan; dan
- Mana-mana orang yang dikecualikan oleh Menteri dari masa ke semasa.
ADAKAH PEREMPUAN MENGANDUNG DIKECUALIKAN MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Ya. Perempuan yang sarat mengandung dikecualikan memakai tali pinggang keledar.
SIAPAKAH YANG AKAN DIKENAKAN TINDAKAN SEKIRANYA PENUMPANG MELEBIHI DARIPADA JUMLAH TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG YANG DIPASANG DALAM SESEBUAH KENDERAAN DAN KESEMUANYA TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Jumlah penumpang yang dikenakan tindakan adalah mengikut bilangan tali pinggang keledar yang dipasang dalam kenderaan tersebut. Manakala saman akan dikeluarkan kepada penumpang yang berada di tempat duduk yang dipasang tali pinggang keledar sahaja.
BOLEHKAH SATU TALI PINGGANG KELEDAR DIPAKAI OLEH LEBIH DARIPADA SEORANG PENUMPANG?
Tidak boleh kerana setiap tali pinggang keledar hanya untuk seorang sahaja.
SAYA BEKERJA SEBAGAI SEORANG PEMANDU. SEKIRANYA MAJIKAN SAYA YANG DUDUK DI TEMPAT DUDUK BELAKANG TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR, SIAPAKAH YANG AKAN DI SAMAN?
Majikan tuan yang akan disaman.
SEBAGAI PEMANDU ADAKAH SAYA AKAN DISAMAN SEKIRANYA PENUMPANG DI TEMPAT DUDUK BELAKANG YANG BERUMUR DI BAWAH 17 TAHUN TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tidak. Saman hanya dikeluarkan kepada penumpang yang berumur 17 tahun dan ke atas sahaja.
JIKA KENDERAAN MASIH TIDAK MEMPUNYAI TALI PINGGANG KELEDAR, SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MEMASANG?
Tanggungjawab untuk memasang tali pinggang keledar pada kenderaan adalah terletak atas tuan punya kenderaan.
ADAKAH KENDERAAN DARI LUAR NEGARA TERTAKLUK DI BAWAH PERATURAN INI?
Ya. Kenderaan dari negara luar adalah tertakluk kepada peraturan ini.
ADAKAH BAYI WAJIB MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tidak. Bayi tidak diwajibkan memakai tali pinggang keledar sekiranya diriba.
KENDERAAN SAYA DIDAFTARKAN SEBELUM 1 JANUARI 1995 TETAPI MEMPUNYAI TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG, ADAKAH PENUMPANG SAYA WAJIB MEMAKAINYA?
Tidak wajib. Walau bagaimanapun penumpang digalakkan memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan.
APAKAH JENIS TALI PINGGANG KELEDAR YANG DILULUSKAN UNTUK DIPASANG DI BAWAH PERATURAN INI?
Jenis tali pinggang keledar yang diluluskan untuk dipasang adalah seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1 kepada Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 dan (Pindaan) 2008.
DIMANAKAH SAYA BOLEH MEMBAYAR KOMPAUN KERANA DISAMAN TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Kompaun boleh dibayar di mana-mana pejabat JPJ atau Balai Polis (bergantung kepada pihak yang mengeluarkan saman tersebut).
SAYA MEMPUNYAI KERETA HONDA YANG DIDAFTARKAN PADA 5 FEBRUARI 1995. BAGAIMANAKAH SAYA BOLEH MENDAPAT PERKHIDMATAN PEMASANGAN DARI SYARIKAT HONDA?
Tuan dikehendaki menghubungi agen-agen Honda untuk mendapatkan tarikh temujanji bagi pemasangan tali pinggang keledar.
KENDERAAN SAYA DIBUAT PADA TAHUN 1994 TETAPI DIDAFTARKAN PADA TAHUN 1995, ADAKAH SAYA WAJIB MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG?
Ya. Peraturan adalah berkuatkuasa kepada kenderaan yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 1995.
SAYA TELAH DISAMAN PADA TAHUN 2008 KERANA TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR HADAPAN TETAPI SAYA INGIN MEMBAYAR SAMAN TERSEBUT PADA TAHUN 2009. BERAPAKAH JUMLAH KOMPAUN YANG KENA DIBAYAR?
Jumlah kompaun yang kena dibayar ialah RM 300.00.
NENEK SAYA TIDAK MAHU MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR ATAS SEBAB-SEBAB TERTENTU. BOLEHKAH BELIAU DIKECUALIKAN DARIPADA MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tidak boleh.
ADAKAH KESALAHAN TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR TERMASUK DALAM JADUAL KESALAHAN MATA DEMERIT (KEJARA)?
Tidak.
ADAKAH ORANG KURANG UPAYA (OKU) WAJIB MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Ya.
ADAKAH PEMAKAIAN TALI PINGGANG KELEDAR BELAKANG BOLEH MENGELAKKAN KEMALANGAN JALAN RAYA?
Pemakaian tali pinggang keledar belakang bukan bertujuan untuk mengelakkan kemalangan jalan raya tetapi dapat mengurangkan risiko kematian dan kecederaan parah semasa berlaku kemalangan.
ADAKAH PERATURAN PEMAKAIAN TALI PINGGANG KELEDAR DI BAWAH AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 SETARAF DENGAN PERATURAN NEGARA-NEGARA MAJU?
Ya. Peraturan ini telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti U.S.A, Denmark, Britain dll.
KENAPA PENUMPANG TEMPAT DUDUK BELAKANG PERLU MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh mengundang risiko dan bahaya. Berdasarkan kajian MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research), pada kelajuan 50 km sejam penumpang belakang seberat 60 kilogram boleh menghentam tempat duduk hadapan dengan kesan impak sebanyak 2.4 tan.
BERAPAKAH KES KEMALANGAN ATAU KEMATIAN YANG MELIBATKAN PENUMPANG TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research), pada tahun 2007, terdapat 350 kes kematian, 700 kes cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang melibatkan penumpang di tempat duduk belakang kenderaan persendirian. Daripada jumlah ini, 40% - 50% kes kematian, cedera parah dan cedera ringan yang melibatkan penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya penumpang memakai tali pinggang keledar.
ADAKAH TEKSI/KERETA SEWA DIKECUALIKAN DARIPADA MEMASANG TALI PINGGANG KELEDAR TEMPAT DUDUK BELAKANG?
Semua kenderaan yang didaftarkan pada dan selepas 1 Januari 1995 diwajibkan memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang termasuk teksi dan kereta sewa.
KENDERAAN SAYA TELAH DIDAFTARKAN SELEPAS 1 JANUARI 1995 TETAPI TIDAK DILENGKAPI DENGAN PENAMBAT BINAAN DALAM (REAR ANCHORAGE POINTS), ADAKAH SAYA AKAN DISAMAN DISEBABKAN PENUMPANG BELAKANG TIDAK MEMAKAI TALI PINGGANG KELEDAR?
Tidak. Tuan tidak dikenakan saman kerana kenderaan tuan tidak dilengkapi dengan penambat binaan dalam (rear anchorage points) walaupun telah didaftarkan selepas 1 Januari 1995.
No comments:
Post a Comment